Ulasan Cerpen
Ibu,
Maafkan Aku!
Oleh:
Nurhidayah Johari
Cerpen yang
dipilih ialah Ibu, Maafkan Aku! karya Nurhidayah Johari. Cerpen ini mengisahkan
dua orang adik beradik yang derhaka kepada ibunya. Ibunya bernama Imah yang
berusia 58 tahun merupakan seorang ibu tunggal manakala ayah mereka telah
meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa mereka masih kecil. Imah
merupakan seorang wanita tua yang tabah kerana membesarkan anak-anaknya tanpa
seorang suami disisi. Pelbagai dugaan dan cabaran yang dilalui oleh Imah ketika
membesarkan anak-anaknya. Anak sulung Imah, watak abang mempunyai sikap yang
kurang ajar kerana tidak menghormati ibunya dan sering bercakap kasar sehingga
Imah berkecil hati. Anak kedua Imah, Dania pula merupakan seorang pelajar yang baik
dan rajin semasa di Malaysia telah berubah sikap kepada pelajar yang bermasalah
setelah menyambung pelajaran di London. Penulis cerpen ini juga menggambarkan
Dania telah menerima kejutan budaya apabila dia tidak lagi bertudung dan mengamalkan
budaya pergaulan bebas semasa di UK. Dania juga telah mengabaikan
tanggungjawabnya sebagai anak kerana tidak menghubungi ibunya di Malaysia
selama beberapa bulan. Cerpen ini berakhir dengan penyesalan apabila Imah
meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan kes langgar lari dan anak-anak
Imah tidak sempat meminta maaf kepadanya.
Pada pendapat
saya, cerpen ini mempunyai banyak pengajaran untuk anak-anak muda pada hari
ini. Cerpen ini dapat membuka minda golongan muda supaya menghargai ibu bapa dan
berbakti kepada mereka semasa mereka masih hidup. Selain itu, cerpen ini
bertemakan pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anaknya. Dari segi
gaya bahasa yang digunakan oleh penulis cerpen, bahasa yang digunakan mudah
difahami dan memberi kesan yang mendalam terhadap emosi pembaca. Secara
ringkasnya, penulis berjaya memberi kesan terhadap emosi pembaca apabila membaca
cerpen ini. Seterusnya, cerpen Ibu, Maafkan Aku! ini juga perlu ditambah
jalan ceritanya agar lebih menarik untuk dibaca.
Cerpen ini telah diambil dari blog penulisan2u.com
Kredit:
jalan cerita sgt memberi pengajaran. sedih bila sy baca :(
ReplyDelete